Tuesday, November 3, 2009

ust asri??

Bekas Mufti Perlis Ditahan Semasa Adakan Ceramah


KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin ditahan ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, Ahad malam.
Menurut beberapa saksi, Asri ditahan semasa berceramah kira-kira pukul 12.10 tengah malam oleh polis serta pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kemudian dibawa ke Balai Polis Hulu Klang.
Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.
Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.
– BERNAMA


Dr. Asri dilepas




Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bersama barisan peguam yang mewakili beliau hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ulu Klang, semalam. Bagaimanapun tiada pertuduhan dikemukakan terhadap Mohd. Asri.





KUALA LUMPUR 2 Nov. – ‘‘Ini merupakan satu penantian yang sia-sia.’’ Itu adalah reaksi bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas beliau menunggu lebih tiga jam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.
Bukan setakat dibiar umpama menunggu buah yang tidak gugur, beliau juga tidak dimaklumkan tujuan sebenar diminta hadir ke mahkamah pada pagi ini.
‘‘Saya pun tak tahu. Mengikut bon jaminan yang dikeluarkan awal pagi tadi, saya diminta untuk berada di mahkamah ini pukul 9 pagi. Untuk apa tak tahu, beri keterangan ke atau nak dakwa ke, saya betul-betul tak tahu.
‘‘Malah saya juga ingin betulkan bahawa malam tadi saya juga tidak disoal siasat oleh mana-mana pihak berkuasa sebaliknya hanya diminta untuk memberikan beberapa butiran peribadi,’’ katanya yang menunggu di mahkamah sejak pukul 8.45 pagi.
Menurut laporan akhbar hari ini, Mohd. Asri ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang malam tadi.
Turut berada di ceramah tersebut ialah Ahli Parlimen Ampang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib.
Pada pagi ini, hadir memberi sokongan kepada bekas mufti itu ialah aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), Zainah Anwar.
Selain itu, hampir 50 penyokong bekas mufti itu berada di mahkamah seawal pukul 8 pagi.
Kira-kira pukul 9 pagi, beberapa petugas media dan orang awam mula mengambil tempat di dalam dewan tetapi kira-kira 30 minit kemudian, seorang kakitangan mahkamah memaklumkan bahawa kes Mohd. Asri tidak akan disebut kerana ia masih di peringkat siasatan.
Malah, semakan di mahkamah juga mendapati tiada sebarang fail pertuduhan ke atas kolumnis Mingguan Malaysia itu telah dibuat.
Kira-kira pukul 10 pagi, Mohd. Asri dilihat memasuki bilik pendaftar mahkamah bersama-sama peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan Azmi Mohd. Rais bagi tujuan pelantikan peguam.
Sejurus selepas itu, media kemudian dimaklumkan oleh Zulkifli bahawa pihaknya kini sedang menunggu pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shah Alam.
Ujar Zulkifli, pada ketika ini, bekas mufti berkenaan disiasat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 iaitu mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.
Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Mohd. Asri, para peguam, petugas media dan penyokongnya menunggu di mahkamah sehingga hampir pukul 1 tengah hari sebelum dimaklumkan bahawa tiada pendakwaan akan dibuat pada hari ini.
Bekas mufti itu hanya diminta oleh salah seorang anggota JAIS untuk menyerahkan salinan kad pengenalan beliau dan beberapa maklumat lain.
Maklumat tersebut adalah bagi pengeluaran satu lagi bon jaminan oleh jabatan agama tersebut menggantikan bon jaminan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan malam tadi.
Difahamkan, pihak pendakwaan tidak dapat membuat sebarang dakwaan kerana masih menunggu arahan daripada Mufti Selangor.
Selepas Mohd. Asri dibebaskan dengan jaminan tanpa cagaran, beliau menyatakan rasa kecewanya kerana telah diminta menunggu di mahkamah tanpa sebab.
Beliau juga meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana tidak ada seorang pegawai atau anggota JAIS yang bertemu dengannya atau menghubunginya untuk memberitahu perkembangan kes itu.
Mohd. Asri turut memaklumkan media bahawa beliau akan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen. (B) Datuk Jamil Khir Baharom di Hotel Putra sejurus selepas itu.

No comments: